Pelajar lelaki lebih cemerlang jika dipisahkan: Kajian

LONDON: Budaya “macho” yang menjadikan pelajar lelaki malas belajar boleh diatasi jika budak lelaki dan perempuan dipisahkan serta menjalani pembelajaran di sekolah sama jantina, dakwa penyelidikan ditaja Kerajaan Britain yang disiarkan semalam.

Pelajar perempuan biasanya lebih berjaya daripada lelaki dalam ujian sekolah di Britain dan Jabatan Pendidikan menjalankan satu projek kajian selama empat tahun membabitkan 50 sekolah untuk mencari jalan mengurangkan jurang berkenaan.

Penyelidik dari Universiti Cambridge mendapati kelas sama jantina membabitkan mata pelajaran yang sama boleh membantu kejayaan pelajar lelaki, selain memberi manfaat kepada pelajar perempuan.

“Lebih ramai pelajar wanita dan lelaki lebih selesa belajar di kelas sama jantina. Mereka akan lebih berinteraksi dan menunjukkan minat untuk belajar tanpa sebarang gangguan. Mereka juga akan mencapai keputusan yang lebih baik,” kata kajian itu.

Kajian itu berkata, ada bukti menunjukkan pelajar lelaki bertindak memelihara imej `macho’ mereka dan bersikap demikian yang menghalang mereka serta pelajar lain dalam kelas serupa daripada mencapai kejayaan .

Masalah `macho’ bagaimanapun boleh juga menjadi satu masalah dalam sekolah sama jantina, kata penyelidikan terbabit.

Namun secara keseluruhan, kajian itu berkata: “Bukti menyokong hujah bahawa perkembangan pelajar dalam mata pelajaran tertentu boleh dibantu dengan berada dalam kelas sama jantina. Ini berdasarkan tindak balas pelajar dan analisis mengenai pencapaian akademik mereka.”

Tahun lalu, bekas Menteri Persekolahan, David Miliband menyokong idea sekolah sama jantina di Britain bagaimanapun kerajaan tidak merancang sebarang program ke arah itu setakat ini. – AFP

original copy from berita harian 30 mei 2005

Comments

Popular posts from this blog

Friendster Dot Com Cracker Berlesen!!

Mind controlled animal...