Yang Mana satu ? Akademik , Masa Hadapan & ……..

Assalamualaikum,



Tahniah di ucapkan kepada semua pelajar "Alpha Muslim batch 0506" di atas kehebatan mereka baik dari sudut akademik, ukhwah mahupun aktiviti berpersatuan. Ini diambil kira dari sudut pandangan orang luar yang memandang, berbanding dengan batch alpha tahun sebelumnya. Pendek kata, semuanya hebat belaka. Tahniah di ucapkan sekali lagi.



Mungkin kata orang, manakan tidak semuanya hebat, sebab ramai yang mempunyai latar belakang sekolah berasrama, "ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi". Tambahan pula dengan bilangan pelajar cemerlang yang memperoleh biasiswa Yayasan Telekom Malaysia (YTM) mahupun biasiswa lain yang menyumbang ke arah pencapaian ini.



Setelah berhempas pulas dengan aktiviti berpersatuan dan kehidupan separuh penggal semester di universiti, pelajar jurusan kejuruteraan mengambil 3 peperiksaan pertengahan penggal dalam masa seminggu. Tidak dapat dinafikan, 3 peperiksaan dalam selang masa yang singkat, mungkin agak perit, tapi itu norma biasa dalam kehidupan pelajar Universiti. Alah bisa tegal biasa, kata seorang senior Gamma.



Mungkin apa yang penting adalah hasilnya. Apakah yang didapati setelah masa dan keringat yang dicurahkan sebegitu banyak itu, ke manakah perginya ? Setelah peperiksaan pertama (Fizik III) tamat, keputusan telah pun diperoleh. Setelah disemak, ramai yang gagal. Seperti diduga, ini bakal berlaku. Cuma hairan, benarkah ini jurusan pilihan mereka ? Perkara asas pun boleh gagal. Hendak kata sukar, entahlah, malahan kelas tambahan sebelumnya pun, menekankan perkara yang hampir sama dengan apa yang mereka bakal hadapi. Bagaimana hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi agaknya? Bagaimana rumah yang bakal di bina boleh utuh, jika tiang seri pun goyah ? Ini cuma satu sampel, kerana subjek lain pun, lebih kurang sahaja.



Sayangnya, antara yang kecundang, merupakan pelajar yang datangnya dari sekolah yang hebat-hebat, keputusan SPM yang mantap, penerima biasawa itu dan ini. Adakah mereka ini tidak dapat "mengembek di kandang kambing, menguak dikandang lembu ?" Atau, sudah biasa dengan deringan loceng, maka ketiadaannya di Menara Gading mungkin menyukarkan. Jika "busy" sekalipun atau jika penggunaan bahasa bukan ibunda yang dituturkan dalam kelas formal menjadi penghalang, ada sahaja "backup" bagi kelas tambahan yang diadakan pada sebelah malam, semestinya berbahasa ibunda. Itupun, jika tahu mempergunakannya. Cuma sayangnya, ramai juga yang bodoh sombong. Pun tidak tahu menghargainya, seperti monyet mendapat bunga. Jika ditanya permasalahan akademik, tidak tahu, itulah jawapannya. Betulkah menghadirkan diri ke kelas formal ? Padahal, bukan tidak tahu ada kelas berbahasa ibunda sebagai bantuan.





Penulis menyokong jika anda berkata, berpersatuan itu penting, dapat menambah ilmu pengetahuan, "inter dan intrapersonal skills" dapat dipupuk, mengeratkan ukhwah, saling bantu-membantu, merapatkan jurang perbezaan dan pelbagai peluang serta kelebihan lain lagi. Malahan sokongan penulis sendiri mungkin menjangkau 1000 % ke atas mereka yang berpersatuan. Adakah berpersatuan penyumbang utama kepada permasalan ini ? Tetapi, bagaimana mereka yang tidak turut sama berpersatuan ? Adakah kegagalan tidak dirasai?



Habis, jika begitu, di mana puncanya ? Adakah luka lama bakal berulang kembali ? Jika ditanya secara rambang, apa kata mereka yang gagal ? Sibuk dengan persatuan, makan futsal tidur pun futsal, memori berjangka pendek, tahu buat masa di kelas / latihan sendiri tetapi semasa peperiksaan sudah terlupa, terlalu banyak rumus untuk diingati (benarkah untuk 2 bab pertama ? ), ada "komitmen" lain, malah Dota pun menjadi sasaran. 1001 alasan boleh dicipta bagi menutup pekung didada.



Kata orang , hidup ini tiada seri jika tiada penghalang ditengah jalan. Tidak dinafikan, setiap yang berlaku ada puncanya, dan pastinya ada cara bagi mengatasi permasalahan tersebut. Akan tetapi , sebelum mengatasi, perlulah mengetahui terlebih dahulu puncanya. Apakah perkara pokok yang berlaku? Jika diteliti satu persatu, mungkin perkara berikut boleh dijadikan kesimpulan.



1) Berpersatuan – Jika tahu ada perkara penting, kenapa tidak disusun jadual, mana yang boleh disertai, mana yang tidak. Ini, semuanya disapu bersih. Janganlah setiap minggu bermesyuarat hampir setiap malam, 2-4 jam sehari. Mengalahkan menteri sahaja. Habis, bila pula fokus berikutnya akan ditumpukan pada perkara pokok, kenapa memasuki Universiti?



Ini pula, lain halnya. Oleh kerana seseorang itu cemerlang dalam tugasnya berpersatuan atau mungkin tiada orang yang sesuai dalam melaksanakan misi berikutnya, maka orang sama sahaja dipilih. Malah mereka ini tiada pula halangan mahupun tahu berkata "tidak". Seolah-olah mereka ini di"pergunakan" pula bagi menjayakan misi persatuan. Yang berada di atas, haruslah tahu menjaga kebajikan ahli dan bukan hanya menjaga kepentingan persatuan yang dipimpin sahaja. Barulah persatuan itu akan dilihat sebagai matang, dan bukannya "syok" sendiri mahupun tahu mempergunakan ahlinya sahaja. Pastinya, tidak dapat bertahan lama, jika itulah yang dicari.



Bagi penulis, tiada apa yang dapat dibanggakan dengan persatuan yang kononnya gah, jika yang berada di barisan hadapan kelas adalah ramainya orang berkulit sawo matang (tidak sepatutnya bagi orang ISLAM). Itupun sebab terpaksa berada dihadapan oleh sebab gagal, dipaksa oleh tenaga pengajar masing-masing. Jika berada di atas (belakang), lagi parahlah nampaknya. Datang lewat, tidur, bersembang dan fikiran melayang entah kemana, tidak dapat dinafikan lagi.





2) Amanah - Benar berpersatuan itu suatu amanah dan tanggungjawab, habis, tiadakah amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan d bahu masing-masing ketika mula melangkah ke Universiti ? Apakah harapan menggunung IBU BAPA, masyarakat dan Islam itu melihat umatnya berjaya hingga ke kemuncak dalam bidang masing-masing , boleh diketepikan? Jika tidak dapat dipikul, kenapa sanggup menambah beban lagi di bahu ?



3) Ukhwah – Jika ungkapan berpersatuan itu dapat membina ukhwah, kenapa tidak diteruskan sahaja perkara yang baik ini dalam bidang akademik ? Yang bijak, bantulah yang kurang, yang kurang pula, usahlah segan silu meminta bantuan dari pihak yang sesuai. Barulah ukhwah itu subur. Bantu-membantu. Bukan sekadar bila duit hilang, maka Yasin dipertaruhkan. Kadang kala, seolah-olah adat menjadi peranan utama. Jika masing-masing ingat-mengingati antara satu sama lain, pastinya ukhwah akan subur menghijau. Bukanlah ini bertujuan menjaga tepi kain orang, tetapi bagi menyuburkan ukhwah itu. Janganlah menjadi orang yang hipokrit. Mudah melafazkan, buatnya tidak kemana. Biarlah berdikit, tetapi istiqamah.



4) Pengurusan masa – Oleh kerana aktif dengan itu dan ini, mungkin ada perkara yang terlepas pandang. Biasalah, sebagai manusia yang tidak sempurna. Tetapi ini tidak boleh dijadikan sandaran. Sudah tahu ada perkara mendatang, kenapa tidak direkod tugasan berikutnya. Pastikan mana yang penting dan segera dilaksanakan terlebih dahulu, diikuti dengan yang tidak penting dan segera, kemudian penting dan tidak segera dan akhir sekali barulah tidak penting dan tidak segera, dilaksanakan, seperti bermain permainan Dota, mahupun EA manager. Sebagai seorang yang pernah turut aktif semasa menjadi seorang pelajar, penulis merasakan tidak sewajarnya persatuan itu sahaja yang dipersalahkan semata-mata. Cerminlah dulu, ukur baju di badan sendiri. Tidak semua orang mempunyai saiz yang sama.



5) Sikap – hendak seribu daya, tak hendak, macam-macam alasan yang dicari agar tidak perlu dituding pada diri sendiri. Acapkali dalam hidup ini, kita sering mencari kesalahan orang lain. Malah melarikan diri dari menerima hakikat seolah-oleh menjadi lumrah. Kebanyakan permasalahan biasanya berpunca dari diri sendiri.



Bagi penulis, alasan seperti - Sibuk dengan persatuan, makan futsal tidur pun futsal, memori berjangka pendek, tahu buat masa di kelas / latihan sendiri tetapi semasa peperiksaan sudah terlupa, terlalu banyak rumus untuk diingati - semuanya merupakan alasan yang direka. Ubah sikap malas, suka bertangguh, bodoh sombong dan ego jika hendak berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Jika tidak, jangan mengharap kejayaan akan datang seperti bulan jatuh ke riba. Jika hendak menjadi insan cemerlang, hendaklah berusaha menjadi insan cemerlang dari semua segi.





6) Teknik - Jika latihan hanya dibuat sekali sekala, bagaimana boleh dikatakan telah dilakukan dengan kerap. Pun begitu, ada yang tidak dapat membezakan antara membaca dan membuat latihan. Membaca contoh tidak sama dengan membuat latihan dari contoh yang sama. Membaca, pastinya jawapan tersedia, memudahkan kita untuk memahami, justeru kita merasakan, memang mudah. Malah mungkin cukup sekadar itu. Tetapi melakukannya sendiri tanpa merujuk kepada jawapan adalah sesuatu yang berbeza. Kali ini, keringat dan minda dikerahkan. Bukan sekadar mata yang bergerak bagi membaca.



Jarang sekali kita berpeluang mempraktikkan teknik (Sedia Awal, Tumpuan, Ulangkaji) iaitu persediaan sebelum, semasa dan selepas kelas, yang memang terbukti berkesan. Manakan boleh jika semuanya diharapkan pada tenaga pengajar menyuap segalanya. Haruslah berdikari. Bukan budak-budak lagi. Dah besar panjang, malah dah berjanggut pun !



Akan tetapi, entahlah, kadang-kadang diri cuma terasa sekadar mencurahkan air di daun keladi. Tujuan maklumat ini disampaikan, bukanlah bagi menghentam sesiapa, tetapi sekadar menyedarkan diri penulis. Akan tetapi selagi kita berada ditakuk lama, tidak bersedia dan berani menerima perubahan, selagi itulah kita dianggap sebagai masyarakat kelas ke-3 oleh bangsa lain di bumi Malaysia yang tercinta. Selagi itu kita tidak dapat bersaing dengan dunia luar. Selagi itulah kita akan terus ditindas oleh aras pemodenan. Selagi itulah dunia Islam akan terus tertekan. Sedarlah, Sedarlah......



Salam Perjuangan,



Yang Terkilan,

Pemerhati FOSEE

Comments

Popular posts from this blog

New Guinness record for kebab

top 200 no more